Desember 13, 2008

Carok Sebagai Elemen Identiti Manusia Madura (3 of 4)

Akademika 65 (Julai) 2004: 91-110

Carok Sebagai Elemen Identiti Manusia Madura

MOHAMAD FAUZI B. SUKIMI

Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 UKM Bangi


PELAKU, BENTUK CAROK DAN TANGGAPAN TERHADAPNYA

Menurut Denkers (dalam Jonge 1993:4), umumnya orang Madura yang melakukan carok adalah lelaki, yang bererti seorang lelaki menentang lelaki lain, bukan lelaki menentang wanita, apalagi wanita menentang wanita yang lain. Apabila berlaku pembunuhan atau tindakan kekerasan oleh seorang lelaki terhadap seorang wanita, atau oleh seorang wanita terhadap wanita yang lain, peristiwa tersebut tidak disebut sebagai carok tetapi sebagai atokar (perkelahian) atau mate’e oreng (pembunuhan biasa). Oleh kerana itu, bagi orang Madura carok adalah urusan lelaki semata-mata dan bukan urusan wanita. Hal tersebut dipertegas dengan ungkapan oreng lake’ mate acarok, orang bine’ mate arembi yang bermaksud lelaki mati kerana carok, perempuan mati kerana melahirkan anak (Latief Wiyata 2002: 177).

Tidak semua tindakan agresif yang dilakukan oleh orang Madura dapat dianggap sebagai carok. Pada umumnya, tindakan agresif yang menyebabkan mangsa hanya mengalami luka ringan hanya disebut oleh orang Madura sebagai atokar atau perkelahian biasa. Carok hanya merujuk kepada tindakan yang menyebabkan mangsa luka parah atau mati. Bahkan lazimnya, pelaku carok hanya akan merasa puas, lega dan bangga sekiranya mangsa mengalami kecederaan parah atau mati.

Carok dapat dilakukan dengan pelbagai cara. Pertama, carok dengan cara nyelep adalah tindakan menyerang musuh secara serang hendap, iaitu menyerang secara mengejut dari belakang dan dengan sekali tebas membelah perut atau memotong urat nadi leher (Touwen-Bouwsma 1980). Cara nyelep dianggap lebih mudah untuk menewaskan lawan, namun cara ini dianggap sebagai tindakan pengecut (kerji) atau tidak kesatria. Oleh yang demikian, carok nyelep merupakan suatu usaha yang terancang untuk membunuh seseorang atau menyebabkan kecederaan parah, dengan menggunakan kesempatan sewaktu mangsa dalam keadaan lalai, dengan tujuan untuk melepaskan rasa dendam atau rasa sakit hati akibat dipermalukan oleh mangsa di khalayak umum (Soetandyo 1984).

Cara kedua, ialah dengan menentang musuh secara berhadapan dan tindakan ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Ketiga, carok yang disebut sebagai ngonggai, yang mana pihak yang ingin melakukan carok harus mengunjungi rumah lawannya lalu mencabar untuk bertarung secara berdepan. Carok dalam cara kedua dan ketiga tersebut lebih mendekati apa yang dinyatakan oleh Abdurrahman (1977) tentang carok iaitu sebagai suatu perkelahian yang menggunakan senjata tajam antara seorang individu dengan individu lain atau antara satu kelompok dengan kelompok lain, yang terlebih dahulu dipersetujui tentang tempat dan waktu carok akan dilangsungkan. Namun begitu menurut informan, carok yang seperti ini sudah jarang berlaku. Carok yang sering berlaku adalah bentuk carok nyelep.

Cara yang keempat ialah carok yang disebut sebagai gu’-teggu’ sabbu’. Dalam cara ini pelaku carok saling memegang seutas tali pinggang dengan tangan kiri dan pada masa yang sama tangan kanan mereka saling menghayun celuritnya.6 Apapun cara yang dipilih, dalam setiap peristiwa carok pasti akan berakhir dengan cedera parah atau kematian. Biasanya carok yang dilakukan dengan cara nyelep akan menyebabkan orang yang diserang mati, sedangkan penyerang hanya cedera ringan atau tidak cedera sama sekali. Manakala dalam carok gu’-teggu’ sabbu’ kedua-dua pelaku carok mungkin akan sama-sama mendapat kecederaan parah atau mati.

Lazimnya pemenang sesuatu peristiwa carok adalah mereka yang dapat menewaskan lawannya sama ada dengan menyebabkan kematian atau cedera parah. Jika salah seorang tidak terbunuh, maka pemenang akan ditentukan berdasarkan siapakah yang hanya mengalami kecederaan yang sedikit. Pemenang carok akan mendapat gelaran oreng jago. Sekiranya oreng jago melakukan carok buat kali kedua atau seterusnya dan memperoleh kemenangan, maka kemenangan tersebut akan memperkukuhkan lagi gelaran yang telah disandangnya itu.

Carok dapat dilakukan secara terancang mahupun spontan. Carok secara spontan adalah carok yang dilakukan apabila berlaku perselisihan yang bersangkutan dengan masalah harga diri. Dalam hal ini pihak yang merasa malo akan terus menyerang pihak lawan dengan apa juga senjata atau alat yang ada di sekitarnya. Carok juga dapat dilakukan melalui perancangan atau strategi yang rapi. Dalam hal ini, pelaku carok akan mengintip mangsa untuk menentukan masa dan tempat yang sesuai untuknya bersembunyi dan kemudian melakukan carok secara nyelep (serang hendap).

Seseorang yang ingin melakukan carok dan seterusnya menjadi jagoan carok harus bersedia atau melengkapkan dirinya. Menurut Latief Wiyata (2002:189), terdapat tiga prasyarat yang harus dipenuhi iaitu kadigdajan (kemampuan diri), tampeng sereng, dan banda (dana). Kadigdajan adalah segala sesuatu yang berkaitan dengan persiapan diri baik secara fizikal mahupun mental. Persiapan secara fizikal adalah berkaitan dengan kemahiran teknik dan ilmu membela diri. Persiapan atau prasyarat secara mental adalah lebih kepada persoalan apakah orang tersebut mempunyai keberanian (angko) atau tidak. Dalam hal ini, pengalaman seseorang yang pernah melakukan carok adalah sangat penting untuk memastikan dirinya dapat mempertahankan gelaran sebagai seorang jago.

Seringkali, seseorang yang akan melakukan carok tidak hanya mengharapkan kekuatan fizikal sahaja tetapi turut mengharapkan kekuatan yang bersifat non-fizik atau supra natural. Persediaan inilah yang disebut sebagai tampeng sereng. Bagi mempunyai kekuatan non-fizik, seseorang memerlukan apagar (pendinding) yang dapat diperolehi dengan bantuan dukun carok atau kiaeh (kiyai). Dukun carok akan melakukan proses ‘pengisian’ mantera atau jampijampian ke badan pelaku carok. Adakalanya pelaku carok akan diajar dengan bacaan ayat tertentu, mantera atau wirid (zikir) yang kemudian harus diamalkan setiap hari atau sebelum melakukan tindakan carok. Terdapat tiga bentuk mantera atau azimat iaitu:
1. azimat yang membuatkan orang menjadi berani dan selalu siap sedia untuk bertempur yang disebut sebagai nylateng;
2. nyepet pula adalah mantera atau azimat yang membuat orang menjadi kebal; dan
3. mesem adalah azimat atau mantera yang menyebabkan pihak lawan menjadi luluh hati atau menjadi tidak marah.

Daripada sekian ramai dukun carok di Desa Kolpo, Kabupaten Sumenep, terdapat tiga orang dukun carok yang cukup terkenal, iaitu Ki Kabbul, Pak Radung dan saudaranya Pak Saud. Komuniti tempatan yakin bahawa ketigatiga dukun tersebut memiliki ilmu yang diwarisi daripada ayah masing-masing. Orang yang datang untuk meminta bantuan atau berguru dengan ketiga-tiga dukun tersebut tidak hanya datang dari Batuputih atau Batang-Batang tetapi juga dari luar daerah tersebut seperti dari Waru, Pamekasan atau Banyuates, Sampang (Kompas 17 Nov. 2000).

Meskipun zaman telah banyak berubah dan semakin menjadi moden, tetapi sebahagian besar warga Madura masih tetap akrab dengan carok dan tindakan- tindakan kekerasan yang lain. Tersinggung sedikit sahaja, mereka boleh melakukan tindakan nekad atau bahkan carok. Soalan yang bermain di fikiran orang luar adalah mengapa orang Madura yang terkenal sebagai orang taat beragama masih melakukan tindakan yang bertentangan dengan ajaran agama seperti carok. Hal ini kerana, dari sudut agama Islam alasan untuk membela harga diri setelah merasa dihina atau diperlekeh oleh orang lain tidak dapat diterima sebagai asas bagi melakukan carok.

Di kalangan orang Madura, mereka mempunyai logika masing-masing untuk terus terlibat dengan carok. Menurut salah seorang jagoan carok iaitu Pak Enda dari Desa Kolpo, Kecamatan Batang-Batang, Kabupaten Sumenep, antara alasan beliau terlibat dengan carok adalah untuk memberi pengajaran kepada individu tertentu yang bersikap sombong. Bagi Pak Enda, tidak seorang pun boleh bersikap semahunya terhadap sesama manusia. “Kaula ngocak, mon oreng sombong kodu eberi pangajaran, sopaja tak terros e kaandi” yang bermaksud, “saya selalu bilang, kalau orang sombong itu harus diberi pengajaran agar kesombongan itu tidak menjadi wataknya (Kompas 17 Nov. 2000).

Selain alasan untuk menundukkan kesombongan lawan, ada juga memberikan alasan lain untuk terlibat dengan carok. Dalam hal ini, jagoan carok yang bernama Sosro berkata: “manossa paneka coma gaduan otang nyaba ka se Kobasa. Manabi takok mate, artena abak dibik neka tak nyerra’a otang” (kepada Tuhan, manusia itu hanya punya utang nyawa, bukan harta atau yang lain. Jadi, kalau takut mati, artinya kita tidak mahu membayar hutang kita kepada Tuhan). Apa yang diungkap Sosro telah menjadi pegangan hampir semua penduduk Desa Kolpo, Kabupaten Sumenep. Jika harga diri telah disentuh, nyawa bukan sesuatu yang harus dipertahankan. Justeru harga diri itu yang mesti dibela, walaupun nyawa sebagai pertaruhannya (Kompas 17 November 2000). Demikian nilai yang dipegang oleh sebahagian orang Madura dalam konteks carok.

Pelbagai alasan yang dikemukakan untuk menerangkan kenapa seseorang itu melakukan carok telah menimbulkan rasa gerun di kalangan anggota masyarakat luar Madura. Tidak sedikit orang luar yang mempunyai rasa gerun terhadap orang Madura sehingga takut untuk berhadapan dengan mereka. Apabila ditanyakan mengapa mereka merasa takut, pasti jawapannya adalah berkaitan carok. Oleh yang demikian, carok telah menjadi unsur penting di kalangan orang luar dalam mendeskripsikan orang Madura. Berhubung dengan rasa takut mereka terhadap orang Madura dan carok, seorang informan mengatakan bahawa: Lah dulu, bapak saya bilang di Madura ini kalau kentut di depan orang aja bisa dicarok! Lah kan ngeri. Masa hanya kerana kentut udah dicarok!

Meskipun di mata masyarakat Madura carok dan atokar adalah dua perkara yang berbeza, tetapi dari sudut authority-defined terutama di mata institusi penegak undang-undang di Indonesia (polis dan badan kehakiman), keduanya tetap dianggap sebagai tindakan jenayah yang melanggar undang-undang. Berdasarkan Kitab Undang-undang Hukum Pidana (KUHP), carok dikategorikan sebagai pembunuhan (fasal 338 dan 340) atau penganiayaan berat (fasal 351,353,354 dan 355), manakala atokar dikategorikan sebagai penganiayaan ringan (fasal 352).

Dalam kebanyakan kes carok, ternyata pelaku carok tidak cuba melarikan diri setelah melakukan carok, sebaliknya menyerahkan dirinya kepada pihak polis. Tindakan ini dilakukan bukanlah kerana mereka telah sedar dengan kesalahan yang telah dilakukan, sebaliknya adalah kerana takut dengan tindakan balas dendam yang mungkin akan dilakukan oleh keluarga mangsa.

Secara keseluruhan, Latief Wiyata (2002: 184-185), merumuskan pengertian carok, iaitu suatu tindakan atau percubaan membunuh (kerana adakalanya hanya berupa tindakan menyerang yang menyebabkan kecederaan) dengan menggunakan senjata tajam (umumnya menggunakan clurit) dan dilakukan oleh seorang lelaki (tidak pernah wanita) terhadap seorang lelaki lain yang dianggap telah melakukan pelecehan terhadap harga dirinya (baik secara individu mahupun secara kolektif yang mencakup kerabat atau keluarga), terutama berkaitan dengan masalah kehormatan isteri sehingga membuat malo. Di dalam masyarakat Madura, carok telah mendapat sokongan dan persetujuan sosial. Bererti masyarakat tidak memandang hina atau salah kepada pelaku carok yang membela maruahnya yang tercemar. Carok juga telah menjadi alat budaya bagi pelaku yang ingin memperolehi gelaran sebagai oreng jago, sehingga kejayaan dalam carok menimbulkan perasaan puas dan lega, bahkan bangga kepada pelakunya. Secara ringkas dapat disimpulkan bahawa pengertian carok harus mengandungi lima unsur, iaitu:

1. tindakan atau cubaan membunuh antara pelaku lelaki,
2. pelecehan harga diri terutama berkaitan kehormatan isteri,
3. perasaan malo,
4. adanya dukungan serta persetujuan sosial, dan
5. perasaan puas dan bangga bagi pemenangnya.


3 komentar:

  1. Assalam Pak Latief. Saya dulu juga Mahasiswa Bapak di Fisipol Unej.

    Visit dan follow balik, pak.
    http://darahmadura.blogspot.com/
    http://republikmadura.blogspot.com/

    BalasHapus
  2. Tp di Jurusan HI bukan di KS atau Sosiologi.

    Salam takzim saya dari Madura, Pak!

    BalasHapus
  3. Membaca blog bapak, sy makin tertarik budaya Madura. Dimana sy dapat bukux Bapak? atau Buku MANUSIA MADURA karangan Mien A Rifai, atau buku yg lain? trims atas kebaikannya, email saya sobiyinsobiyin@yahoo.co.id

    BalasHapus