Desember 13, 2008

Carok Sebagai Elemen Identiti Manusia Madura (4 of 4)

Akademika 65 (Julai) 2004: 91-110


Carok Sebagai Elemen Identiti Manusia Madura


MOHAMAD FAUZI B. SUKIMI

Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Universiti Kebangsaan Malaysia

43600 UKM Bangi



CAROK DI MALAYSIA


Sejak sebelum abad ke-19, Tanah Melayu (Malaysia) menjadi salah satu destinasi utama para migran dari Indonesia. Sehubungan itu, tidak dapat dinafikan fenomena carok turut terjadi di Malaysia seiring dengan kemasukan migran dari Pulau Madura. Namun begitu, kajian-kajian terdahulu tentang migrasidari Indonesia ke Malaysia pada era pra kemerdekaan tidak memperlihatkan data tentang penghijrahan orang Madura (lihat misalnya kajian Khazin Mohd. Tamrin 1984; Tunku Shamsul Bahrain 1964). Kajian-kajian terdahulu hanya menunjukkan bahawa kelompok etnik yang berhijrah ke Malaysia adalah seperti orang Minang, orang Boyan, orang Bugis, orang Jawa.


Sesuai dengan perkembangan semasa, kemasukan pekerja asing terutama dari Indonesia terus mengalir ke Malaysia. Dalam era pasca kemerdekaan, kemasukan pekerja asing dalam jumlah yang sangat ketara sejak tahun 1970-antelah menjadi faktor yang mewarnai pelbagai sektor dalam ekonomi Malaysia. Sehingga tahun 2000, permit kerja yang telah dikeluarkan kepada pekerja asing (pekerja yang tidak mahir dan separuh mahir) oleh Jabatan Imigresen adalah melebihi 893,000 orang. Pekerja asing yang mahir dan profesional pula tercatat sekitar 50,000 orang. Terdapat pula sekitar 18,714 orang pekerja asing yan gagal untuk memperbaharui permit mereka dan seramai 72,000 orang yang laridaripada majikan mereka. Manakala pekerja asing tanpa izin pula dianggarkan antara 50,000 hingga 100,000 orang. Oleh yang demikian, secara keseluruhan terdapat lebih dari satu juta orang pekerja asing di Malaysia (Azizah Kasim 2001).


Seiring dengan aliran kemasukan pekerja asing ke Malaysia yang berlangsung sejak tahun 1970-an, kajian-kajian terkini mengenai pekerja asing telah menunjukkan kehadiran orang Madura. Kajian oleh Mahfuza Mustafa (1992) tentang penyesuaian diri imigran Indonesia terhadap persekitaran di Kg. Bakar Batu dan Kg. Tok Siak, Johor Baru misalnya, menunjukkan bahawa jumlah orang Madura adalah 38 peratus daripada sekitar 400 orang imigran Indonesia yang terdapat di kawasan kajian. Kajian oleh Choy Sook Fen (1997) tentang jaringan sosial pekerja binaan Indonesia di Mahkota Park, Melaka menunjukkan bahawa orang Madura adalah sebanyak 10 peratus daripada tenaga kerja yang bekerja di lokasi tersebut. Manakala kajian oleh Lee Yok Fee (1995) menunjukkan bahawa jumlah orang Madura adalah di sekitar 21.6 peratus daripada keseluruhan buruh binaan yang bekerja di Taman Kajang Utama, Kajang. Kajilidikan yang dilakukan terhadap pekerja Indonesia di Lembah Klang pada tahun 1995 pula menunjukkan bahawa daripada 376 orang responden yang ditemui terdapat sekitar 35.2 peratus adalah orang Madura (Hairi Abdullah 1997; Mohamed Salleh Lamry 1997).


Meskipun tiada data terperinci mengenai jumlah sebenar orang Madura yang bekerja di Malaysia, dapat dikatakan bahawa kehadiran orang Madura sudah mula dirasakan. Menurut beberapa orang informan, orang Madura mula datang ke Malaysia untuk bekerja pada awal tahun 1980-an. Sebelum itu, orang Madura lebih suka berhijrah ke Pulau Jawa terutama di Jawa Timur dan ke Kalimantan. Menurut responden, kini jumlah orang Madura yang sedang dan akan bekerja di Malaysia akan semakin bertambah kerana masyarakat Madura sudah mula mengenali Malaysia sebagai satu destinasi yang menjanjikan peluang kerja yang baik.


Seiring dengan kehadiran orang Madura di Malaysia, sebahagian besar orang Madura yang telah ditemu bual mengakui bahawa mereka pernah mendengar tentang berlakunya carok di kalangan pekerja Indonesia di Malaysia. Menurut mereka, hal tersebut tidak menghairankan kerana carok sudah menjadi sebahagian daripada hidup orang Madura. Malangnya, tidak mudah untuk mendapatkan data terperinci tentang kejadian carok di Malaysia. Hal ini kerana data tentang kadar jenayah yang membabitkan pekerja asing Indonesia tidak memperinci tentang kelompok etnik. Oleh yang demikian tidak ditemukan data yang menunjukkan berapa peratus orang Madura yang terlibat dengan kes jenayah. Namun demikian, isu carok pernah mendapat perhatian pihak NTV7 yang menyiarkan liputan tentangnya melalui acara Edisi Siasat pada awal tahun 2004. Dalam siaran tersebut dikupas tentang beberapa kes bunuh yang disyaki melibatkan orang Madura. Dalam siaran tersebut, pihak Polis telah menunjukkan clurit sebagai senjata yang digunakan untuk membunuh. Liputan ini sedikit sebanyak membayangkan keresahan masyarakat Malaysia tentang kes bunuh atau carok yang banyak berlaku di kalangan pekerja asing.


Apapun alasan yang melatarbelakanginya, seperti yang dikaitkan dengan undang-undang di Indonesia, dari sudut authority defined carok tetap dilihat sebagai suatu tindakan jenayah yang bertentangan dengan undang-undang Malaysia. Sekiranya tindakan carok telah menyebabkan mangsa terbunuh, maka pelaku carok boleh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan akan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Pelaku carok akan didakwa cuba membunuh dan menyebabkan kecederaan parah di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan sekiranya mangsa mengalami cedera parah. Bagi tindakan yang menyebabkan kecederaan atau kecederaan parah, pelaku carok boleh didakwa di bawah Seksyen 321 atau 322 Kanun Keseksaan, yang membawa kepada hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya.


Secara umum, orang Madura yang ditemui mengakui bahawa mereka harus menghormati undang-undang Malaysia. Mereka juga mengakui bahawa undang-undang di Malaysia adalah jauh lebih ‘keras’ berbanding undang-undang di tanahair mereka. Namun begitu, mereka tidak menolak kemungkinan bahawa carok tetap akan berlangsung sekiranya terdapat orang Madura yang merasa harga dirinya telah dilecehkan atau digugat. Pada masa yang sama, mereka tidak menolak kemungkinan kes pembunuhan yang melibatkan penggunaan clurit (sehingga dianggap sebagai carok) yang dilakukan oleh mereka yang dapat dianggap sebagai blater atau samseng. Seorang responden misalnya mengatakan bahawa: “… mereka sih mau mudah dapat wang”. Sehubungan itu, mereka juga menyatakan rasa kesal kerana hal tersebut dapat memberikan gambaran yang negatif terhadap orang Madura lain yang memang benar-benar ingin mencari rezeki di rantau orang.




KESIMPULAN


Sejak sekian lama, carok tampak tidak dapat dipisahkan daripada masyarakat Madura. Carok cukup sinonim dengan orang Madura biar di mana pun mereka berada, sama ada di daerah tanah tumpah darah mereka ataupun di daerah lain seperti di Malaysia. Carok jugalah yang menyebabkan anggota masyarakat lain merasa gerun apabila berhadapan dengan orang Madura. Di Pontianak, Kalimantan Barat misalnya, carok lah yang menyebabkan preman atau samseng Batak tidak berkutik.


Carok sebagai suatu fenomena sosial dapat ditafsirkan dari dua sudut yang berbeza. Dari sudut pandang authority-defined (yang bertitik tolak dari kaca mata pihak yang berkuasa), carok tentunya dianggap bertentangan dengan peradaban manusia. Oleh yang demikian carok dianggap sebagai suatu tindakan jenayah yang perlu dihentikan.


Carok di mata orang Madura tentunya ditafsirkan berdasarkan pengalaman, nilai dan norma yang menyelubungi kehidupan mereka. Dari sudut pandang everyday-defined, orang Madura membezakan antara kes bunuh dan carok. Sesuatu kejadian yang berakhir dengan pembunuhan dianggap sebagai kes bunuh atau jenayah apabila ia berlaku tidak berlandaskan alasan membela maruah diri. Kejadian bunuh yang didalangi oleh blater atau samseng misalnya tidak dapat dikatakan sebagai carok. Manakala kejadian bunuh yang dilakukan dengan alasan membela maruah, maka barulah kejadian membunuh itu dinamakan carok.


Apa yang pasti, dari aspek citra atau identiti orang Madura, carok telah menyebabkan wujudnya anggapan bahawa orang Madura hanya mengenal kekerasan dan tidak mengenal kelembutan atau kehalusan dalam budayanya. Anggapan tersebut tentunya tidak benar memandangkan dalam budaya Madura juga terdapat unsur-unsur yang menunjukkan kehalusan. Hal ini dapat dilihat misalnya dalam sastera Madura (lihat kajian Zawawi Imron 1989) dan muzik serta seni pertunjukan Madura (lihat Helene Bouvier 1989).


Dari segi lain, carok tidak hanya mencorakkan identiti Madura tetapi turut mempunyai nilai ekonomi. Clurit yang erat kaitannya dengan carok telah dijadikan bahan cenderahati. Di kios-kios dalam kompleks pelabuhan Kamal, Pulau Madura misalnya terdapat pelbagai ukuran replika clurit yang dijual sebagai cenderahati. Bahkan clurit yang asli pun boleh dibeli sekiranya kena pada tempatnya.



RUJUKAN


A. Latief Wiyata. 2002. Carok: Konflik Kekerasan dan Harga Diri Orang Madura.

Yogyakarta: LKIS.

Andang Subaharianto. et al. 2004. Tantangan Industrialisasi Madura: Membentur Kultur, Menjunjung Leluhur. Malang: Bayumedia.

Azizah Kasim. 2001. Trans-National Migration Within and Among the Asean Member Countries: Issues and Challenges for Malaysia. Kertas kerja dibentangkan di Asean Universities Student Leaders Conference, di Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, 20 – 23 Mei.

Bouvier, H. 1989. Musik dan Seni Pertunjukan di Kabupaten Sumenep. Dlm. Jonge, Huub de (ed.). Agama, Kebudayaan dan Ekonomi: Studi-Studi Interdisipliner Tentang Masyarakat Madura. Jakarta: Rajawali.

Chan, K. B. & Tong, C. K. 1993. Rethinking Assimilation and Ethnicity: The Chinese in Thailand. International Migration Review 27: 140-68.

Choy Sook Fen. 1997. Jaringan Sosial Pekerja Binaan Indonesia di Mahkota Park Melaka. Latihan Ilmiah. Jabatan Antropologi dan Sosiologi, FSSK, UKM. (Tidak diterbitkan).

Fishman, J. A. 1977. Language and Ethnicity. Dlm. Giles, H. (ed). Language, Ethnicity and Inter-Group Relations. London: Academic Press.

Hairi Abdullah. 1997. Jaringan Social di Kalangan Pekerja Indonesia di Lembah Klang. Dalam M. Arif Nasution (ed.). Mereka yang ke Seberang: Proses Migrasi Tenaga Kerja Indonesia ke Malaysia. Medan: USU Press.Hall, S. 1989. Cultural Identity and Cinematic Representation. Framework 36: 68-81.

Horowitz, D. 1975. Ethnic Identity. Dlm. Glazer, N. & D. P. Moynihan (eds). Ethnicity: Theory and Experience. Cambridge, MA: Harvard University.

Imron, D. Z. 1986. Menggusur Carok. Kertas kerja yang dibentangkan pada seminar ‘Carok, Sebuah Fenomena Masyarakat Madura’, anjuran Harian Memorandum, Surabaya, 23 Mac.

Jackson, P. & Penrose, J. (eds.). 1993. Constructions of Race, Place and Nation. London:UCL Press; Minneapolis: University of Minnesota Press.

Jonge, Huub de. 1989. Madura dalam Empat Zaman: Pedagang, Perkembangan Ekonomi dan Islam. Jakarta: Gramedia.

Jonge, Huub de (ed.). 1989. Agama, Kebudayaan dan Ekonomi: Studi-studi Interdisipliner Tentang Masyarakat Madura. Jakarta: Rajawali.

Khazin Mohd. Tamrin. 1984. Orang Jawa di Selangor: Penghijrahan dan Penempatan 1880-1940. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kompas. 17 November 2000.

Lee Yok Fee. 1995. Migrasi dan Penyesuaian Buruh Binaan Indonesia: Satu Kajian Kes di Daerah Hulu Langat. Latihan Ilmiah. Jabatan Antropologi dan Sosiologi, FSSK, UKM. (Tidak diterbitkan).

Mahfuza Mustapha. 1992. Penyesuaian Imigran Indonesia Terhadap Persekitaran:Satu Kajian Kes di Jalan Kubur, Kg. Bakar Batu dan Jalan Seguntung, Kg. Tok Siak, Johor Baru. Latihan Ilmiah. Jabatan Antropologi dan Sosiologi, FSSK, UKM. (Tidak diterbitkan).

Mohamed Salleh Lamry. 1997. Migrasi dan Pembandaran: Kesan Migrasi Pekerja Indonesia di Lembah Klang, Malaysia. Dlm. M. Arif Nasution (ed.). Mereka yang ke Seberang: Proses Migrasi Tenaga Kerja Indonesia ke Malaysia. Medan: USU Press.

Nonini, D. M. & Ong, A. 1997. Chinese Transnationalism as an Alternative Modernity. Dlm. Ong, A. & D. Nonini (eds.). Ungrounded Empires: The Cultural Politics of Modern Chinese Transnationalism. Pelras, C. 1996. The Bugis. Oxford: Blackwell.

Shamsul A. B. 1996. Debating About Identity in Malaysia: A Discourse Analysis. Southeast Asian Studies 34(3).

Shotter, J. 1993. Cultural Politics of Everyday Life. Buckingham: Open University

Press.

Soetandyo Wignjosoebroto. et al. 1986. Carok: Suatu Studi Cara Penyelesaian Sengketa di Tengah Masyarakat yang Sedang Bertransisi. Laporan penyelidikan, Lembaga Penelitian Universitas Airlangga.

Touwen-Bouwsma. 1989. Kekerasan di Masyarakat Madura. Dlm. Jonge, Huub de (ed.). Agama, Kebudayaan dan Ekonomi: Studi-studi Interdisipliner Tentang Masyarakat Madura. Jakarta: Rajawali.

Tunku Shamsul Bahrin. 1964. Indonesian in Malaya. Tesis, University of Sheffield.

Van den Berghe, P. L. 1978. Race and Ethnicity: A Sociological Perspective. Ethnic and Racial Studies 1(4): 401-411.

www.info-indo.com/java/madura.

Yancey, W. L., Ericksen, E. P. & Juliani, R. N. 1976. Emergent Ethnicity: A Review and Carok Sebagai Elemen Identiti Manusia Madura 109 Reformation. American Sociological Review 41: 391-403.

Zawawi Imron. 1989. Sastra Madura: Yang Hilang Belum Berganti. Dlm. Jonge, Huub de (ed.). Agama, Kebudayaan dan Ekonomi: Studi-studi Interdisipliner Tentang Masyarakat Madura. Jakarta: Rajawali.***



1 komentar:

  1. apakah carok saat ini masih terjadi di Madura???mohon informasinya...trimakasih..^_^

    BalasHapus