Desember 13, 2008

Carok Sebagai Elemen Identiti Manusia Madura (2 of 4)

Akademika 65 (Julai) 2004: 91-110


MOHAMAD FAUZI B. SUKIMI

Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Universiti Kebangsaan Malaysia

43600 UKM Bangi


PULAU MADURA SEPINTAS LALU


Mungkin tidak ramai yang tahu dengan pasti dari mana orang Madura berasal dan lokasi sebenarnya kedudukan Pulau Madura. Dari sudut kedudukan dan administrasi, Pulau Madura merupakan sebahagian daripada Provinsi Jawa Timur. Pulau tersebut terletak di timur Pulau Jawa, iaitu di sebelah pantai utara. Pulau Madura berukuran 160 km dari timur ke barat dan 35 km dari utara ke selatan dengan jumlah luas secara keseluruhan sekitar 4,250 km persegi (www.info-indo.com/java/madura).


Pulau Madura dibahagikan kepada empat kabupaten (daerah) iaitu Bangkalan, Sampang, Pamekasan dan Sumenep. Selain pulau besar, terdapat 67 lagi pulau-pulau kecil yang lain. Daripada jumlah tersebut 66 buah pulau menjadi sebahagian daripada Kabupaten Sumenep. Manakala sebuah pulau lagi termasuk dalam Kabupaten Sampang. Selain itu terdapat dua buah pulau yang kedudukannya agak jauh (sekitar 240 km) dari Pulau Madura, iaitu Pulau Karamian yang terletak di sebelah utara dan Pulau Sekala yang terletak di timur Pulau Madura.


Keadaan laut di sebahagian besar Pulau Madura adalah bersih, jernih dan tidak terlalu dalam sehingga dapat memaparkan kehidupan laut, seperti yang dapat dilihat di sekitar Pulau Mamburit. Lazimnya, pantai di kebanyakan pulau adalah berpasir putih seperti yang terdapat di Pulau Siring Kemuning, Camplong, Slopeng, Lombang, Saobus, Memburit, Saur, Pagerungan dan kepulauan Kangean. Namun begitu, terdapat juga pulau yang diliputi oleh tumbuh-tumbuhan pantai yang tebal di perairannya.


Berbanding dengan daerah lain di Jawa Timur, tanah di Pulau Madura adalah kurang subur. Tanah di Pulau Madura adalah berbatu dan kering. Keadaan inilah yang mendidik orang Madura untuk menjadi orang yang ‘panjang akal’ dan cepat menyesuaikan diri, iaitu dua ciri orang Madura yang sangat dikenali.


Pulau Madura dapat dicapai dengan feri yang perjalanannya memakan masa selama 30 minit dari Pelabuhan Tanjung Perak, Surabaya, ke Pelabuhan Kamal di barat daya Pulau Madura. Feri yang mengangkut pelbagai bentuk kenderaan, penumpang dan barang-barang bertolak dari kedua pelabuhan tersebut setiap 15 minit, dan telah dianggap sebagai jembatan bergerak yang menghubungkan Pulau Madura dan Pulau Jawa.


Dari sudut demografi, pada bulan Mei 1992, jumlah penduduk Jawa Timur adalah 31,708,003 orang. Daripada keseluruhan jumlah penduduk Jawa Timur, penduduk Pulau Madura berjumlah 2,877,194 orang. Daripada jumlah tersebut pula, seramai 1,509,431 orang adalah wanita sementara seramai 1,367,763 orang adalah lelaki. Menurut data statistik yang dikeluarkan oleh Biro Pusat Statistik setempat, jumlah penduduk Madura pada tahun 1994 telah meningkat kepada 2,979,596 orang (Latief Wiyata 2002: 34).


Meskipun Pulau Madura merupakan sebahagian daripada Jawa Timur, Pulau tersebut dihuni oleh kelompok etnik yang mempunyai bahasa dan adat yang tersendiri. Selain dikenali sejak berabad yang lalu sebagai pelayar yang handal, orang Madura juga terkenal sebagai orang yang kuat bekerja, kasar dan mempunyai semangat yang tinggi. Kesemua ciri keperibadian tersebut sangat sesuai dengan cuaca yang panas dan keadaan muka bumi Pulau Madura yang kering.


Sehingga akhir tahun 1970-an, kehidupan orang Madura adalah sangat sederhana. Kebanyakan mereka terlibat dalam kegiatan penternakan, perikanan dan perniagaan kecil. Sejak akhir-akhir ini, sesuai dengan kemajuan teknologi kemudahan infrastruktur seperti jalanraya, bekalan air, elektrik, telekomunikasi dan pengangkutan darat serta laut di Pulau Madura telah meningkat. Hasilnya, keadaan ekonomi masyarakat Madura dikatakan telah mengalami peningkatan berbanding 20 tahun yang lalu.



CAROK SEBAGAI ELEMEN IDENTITI MADURA


Dalam laporan Mohammad Bakir, seorang wartawan Kompas tentang orang Madura menyebutkan bahawa untuk memahami masyarakat Madura memang gampang-gampang susah (Kompas 17 November 2000). Gampang atau mudah kerana sifat masyarakat Madura yang terbuka. Susah kerana tidak semua orang dapat memahami masyarakat Madura secara lengkap dan benar. Berdasarkan sejarah pertembungan masyarakat Madura dengan kelompok etnik lain, mereka cukup dikenali sebagai orang yang giat dan tekun bekerja serta mudah beradaptasi. Orang Madura juga sangat terkenal sebagai orang yang sangat berpegang kepada agama. Namun begitu, pada masa yang sama mereka juga sangat terkenal dengan kekerasan seperti carok. Maka timbul soalan bagaimana sikap beragama boleh berdampingan dengan kekerasan? Untuk memahami lebih lanjut tentang orang Madura tentunya tidak cukup dengan hanya mendengar stereotaip tentang mereka. Bagi tujuan itulah, pada perbincangan berikut kupasan tentang carok akan dibuat bagi memahami bagaimana akhirnya carok menjadi salah satu unsur identiti dalam kehidupan orang Madura.



PENGERTIAN CAROK DAN FAKTOR PENYEBAB


Carok adalah istilah yang berasal dari bahasa Madura yang bermaksud berkelahi atau bergaduh. Tidak dapat dinafikan bahawa perkelahian terdapat berlaku dalam mana-mana masyarakat sekalipun. Lalu mengapakah carok menjadi suatu fenomena yang sinonim dengan orang Madura dan bahkan menimbulkan kegerunan? Carok sebagai suatu bentuk perkelahian agak menarik kerana ia melibatkan penggunaan senjata tajam khas Madura iaitu clurit. Oleh kerana itulah, carok dapat ditafsirkan sebagai tindakan secara fizikal yang diambil oleh seseorang untuk menewaskan atau membunuh seorang musuh dengan menggunakan clurit (Touwen-Bouwsma 1989).


Clurit merupakan senjata tajam yang berbentuk bulan sabit. Lazimnya clurit adalah tidak lebih daripada salah satu alat dalam kegiatan pertanian. Namun begitu, sesuai dengan bentuknya, ia juga sangat berkesan untuk mencederakan orang lain. Begitu eratnya orang Madura dengan clurit sehingga terdapat jenaka mengenainya, seperti berikut:


Dalam satu operasi tentera, seorang pegawai tentera mendapati seorang prajurit yang merupakan orang Madura membawa clurit. Dengan penuh sangsi pegawai tersebut bertanya kepada prajurit berkenaan. “Mengapa kamu bawa clurit? Kan kamu sudah diberi pistol?” Dengan penuh yakin prajurit tersebut menjawab. “Memang betul pak sudah ada pistol tapi kalau pake pistol kan ngak pasti kena…kalau pake clurit… pasti kena!”


Di samping penggunaan clurit, carok mengundang perhatian kerana telah menjadi suatu kelaziman atau pola perilaku, yang mempunyai fungsi budaya di dalam masyarakat Madura. Dengan kata lain, carok telah diterima pakai sebagai cara terakhir bagi menyelesaikan sesuatu persengketaan yang bertitik tolak dari masalah harga diri.


Lazimnya, perasaan malo (malu) atau terhina yang menyebabkan seseorang itu melakukan carok, iaitu apabila harga dirinya diperlecehkan oleh orang lain (Latief Wiyata 2002; Soetandyo 1986). Dengan kata lain, orang Madura yang merasa malu kerana harga dirinya telah diperlecehkan akan merasakan perlu untuk melakukan carok terhadap orang yang menghinanya. Perasaan malu yang mendorong kepada perbuatan carok tidak selalunya muncul secara sepihak tetapi adakalanya melibatkan kedua belah pihak.


Dalam konteks kehidupan bermasyarakat, status seseorang tidak dapat dipisahkan daripada peranan dan status dalam struktur sosial. Peranan dan status sosial seseorang itu pula tidak hanya disedari oleh individu terbabit tetapi harus diakui oleh ahli masyarakat yang lain, sehingga dalam setiap hubungan sosial setiap ahli harus saling menghargai satu sama lain. Menurut Latief Wiyata (2002: 171), bagi orang Madura tindakan tidak menghargai atau tidak mengakui peranan dan status sosial seseorang sama ertinya dengan memperlakukan seseorang itu sebagai orang yang tada’ ajina (benar-benar tidak punya harga diri lagi) dan selanjutnya menimbulkan perasaan malo. Dengan kata lain, bagi orang Madura, jatuhnya harga diri atau maruah diri dianggap sama ertinya dengan jatuhnya status diri di mata masyarakat.


Orang Madura yang merasa harga dirinya sudah digugat akan cenderung melakukan tindakan balas terhadap orang yang menghinanya sebagai usaha untuk memulihkan harga dirinya. Tindakan yang diambil cenderung sangat agresif dan lazimnya adalah tindakan menyerang dengan senjata tajam iaitu clurit sehingga ‘musuh’ tercedera atau yang paling ekstrim adalah terbunuh. Ungkapan ango’an poteya tolang etembang poteya mata (biar putih tulang jangan putih mata) adalah ungkapan yang sering diguna pakai bagi menyatakan betapa orang Madura lebih rela mati daripada harus menanggung malo.


Apakah perkara yang boleh menyebabkan orang Madura merasa malo sehingga akhirnya melakukan carok? Beberapa informan yang ditemu bual menyatakan bahawa terdapat tiga perkara iaitu pertama, apabila isteri mereka diganggu; kedua, apabila harta mereka diganggu; dan ketiga, apabila keinginan mereka untuk melaksanakan perintah agama ditegah. Antara ketiga-tiga perkara tersebut, tindakan mengganggu isteri orang, bermukah atau berzina dengan isteri orang merupakan bentuk pelecehan harga diri yang paling menyakitkan hati bagi lelaki Madura.


Sehubungan itu, mereka menganggap tiada cara lain untuk menebus maruah yang telah tercabar kecuali membunuh orang yang telah menjatuhkan maruahnya itu. Sikap ini dapat dilihat berdasarkan ungkapan yang berbunyi, “saya kawin dinikahkan oleh penghulu, disaksikan oleh orang banyak, serta dengan memenuhi peraturan agama. Maka siapa saja yang mengganggu isteri saya berarti menghina agama saya sekaligus menginjak-injak kepala saya” (Imron 1986:11). Dengan kata lain, martabat dan kehormatan isteri adalah manifestasi martabat dan kehormatan suami. Oleh kerana itu, isteri dianggap sebagai bantalla pate (landasan kematian) sehingga tindakan mengganggu isteri orang disebut sebagai agaja’ nyaba yang maksudnya sama dengan tindakan mempertaruhkan atau mempermainkan nyawa (Latief Wiyata 2002: 173).


Menurut Latief Wiyata (2002) lagi, di mata orang Madura fungsi institusi perkahwinan tidak hanya berkaitan dengan reproduksi dan sosialisasi, tetapi juga berfungsi sebagai manifestasi kelakian atau maskuliniti. Dalam hal ini, seorang lelaki Madura hanya akan merasa dirinya lelaki apabila telah berkahwin dengan seorang wanita. Oleh yang demikian, menurut Latief Wiyata (2002) tidak sedikit lelaki Madura yang merasa perlu untuk mempunyai isteri lebih dari seorang untuk menonjolkan maskulinitinya. Bahkan, bagi seorang lelaki yang telah dikenali sebagai seorang jago, poligami seolah-olah suatu kemestian untuk mengukuhkan kejaguhannya. Dalam konteks inilah dapat difahami bahawa tindakan mengganggu isteri orang dianggap sebagai penghinaan yang sangat menyakitkan seorang lelaki (suami) dan menimbulkan perasaan malo yang tak terhingga kecuali membunuh orang yang berkenaan.


Tindakan mengganggu isteri orang tidak hanya dianggap sebagai suatu tindakan yang merendahkan harga diri sang suami tetapi juga dianggap merosakkan aturan sosial (arosak atoran). Dalam hal ini, suami malo kerana dianggap gagal melindungi isteri, keluarga suami pula malo kerana dianggap gagal memilih menantu yang baik, manakala keluarga isteri malo kerana dianggap gagal mendidik anak. Oleh kerana itu, dapat difahami mengapa carok mendapat dukungan daripada keluarga atau masyarakat.


Beberapa kajian terdahulu seperti oleh Latief Wiyata (2002) dan Soetandyo (1986) juga menunjukkan bahawa selain alasan isteri diganggu orang, carok juga boleh berpunca daripada malo akibat kemampuan diri seseorang tidak diakui oleh teman-temannya. Dalam hal ini, orang Madura yang tidak atau belum membalas dendam bagi ahli keluarganya yang mati dibunuh orang, seringkali dianggap bukan sebagai orang angko (berani). Dorongan untuk melakukan carok sebagai balas dendam didorong oleh ungkapan “aotang pesse majar pesse, aotang nyaba majar nyaba”, yang bermaksud ‘hutang wang dibayar wang, hutang nyawa dibayar nyawa’.


Orang Madura juga akan mencemoh seorang lelaki yang harga dirinya sudah dilecehkan tetapi tidak berani melakukan carok sebagai tidak laki-laki (lo’ lake’). Bahkan terdapat ungkapan “mon lo’ bangal acarok ja’ ngako oreng Madura” (jika tidak berani melakukan carok jangan mengaku sebagai orang Madura). Oleh yang demikian, orang Madura melakukan carok tidak hanya kerana tidak mahu dianggap pengecut tetapi juga agar tetap diakui oleh penduduk sekelilingnya sebagai orang Madura. Dalam hal ini, Latief Wiyata (2002: 178) berpendapat bahawa carok juga dapat diertikan sebagai salah satu cara orang Madura untuk mengekspresikan identiti etniknya. Dengan kata lain, carok tidak hanya dapat dilihat sebagai tindakan agresif yang boleh menyebabkan kecederaan parah atau kematian, tetapi juga sebagai tindakan yang penuh dengan makna sosial budaya yang harus pula difahami sesuai dengan konteksnya.


Tidak ada komentar:

Poskan Komentar