Desember 13, 2008

Carok Sebagai Elemen Identiti Manusia Madura (1 of 4)

Akademika 65 (Julai) 2004: 91-110

MOHAMAD FAUZI B. SUKIMI

Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 UKM Bangi

ABSTRAK

Carok adalah tindakan ‘agresif’ yang dilakukan oleh orang Madura terhadap individu lain demi mempertahankan atau meraih semula harga dirinya. Oleh yang demikian, carok sangat akrab dengan manusia Madura dan kedua-duanya seolah-olah tidak dapat dipisahkan. Makalah ini tidak bertujuan membahas atau menilai carok dari sudut pandang moral. Sebaliknya, makalah ini hanya mengupas fenomena carok dari sudut pandang pihak berkuasa dan pengalaman seharian orang Madura tentang pengertian carok, faktor penyebab, pelaku carok, dan bentuk-bentuk carok. Perbincangan turut menyentuh nilai dan norma masyarakat Madura yang mendukung carok, sehingga akhirnya menjadi unsur penting dalam pembentukan identiti manusia Madura. Seiring dengan kehadiran ramai pekerja asing yang berasal dari Pulau Madura, Indonesia, makalah ini diakhiri dengan kupasan ringkas tentang kemungkinan fenomena carok di Malaysia.



ABSTRACT

Carok and the Formation of Madurese Identity Sociologically, carok can be perceived as aggresive behaviour of the Madurese towards others in regaining back his intergrity. As such, carok is a value that is deeply rooted and closely associated with the Madurese society. This paper aims to explore and critically evaluate the cultural meaning of carok among the Madurese from the authority perspective as well as from the Madurese everydaydefined, vis-à-vis, casual relations, the actors, and the forms or types of carok. This paper will also briefly discuss the norms and values of the Madurese society that upholds the carok, which has become a fundamental element in shaping the Madurese indentity. This paper does not intend to debate and justify carok from the moral ground. Finally, in accordance with the recent development and presence of migrant workers from Madura Island in Malaysia, this paper will end with a brief discussion on the existence of carok in Malaysia.



PENGENALAN

Sesuatu keunikan seringkali dijadikan elemen penting bagi memperkatakan identiti, sama ada identiti individu ataupun identiti kelompok. Ciri fizikal, corak dan gaya berpakaian, pola perilaku, dan aktiviti-aktiviti budaya yang memperlihatkan keunikan berbanding hal-hal yang dianggap lazim oleh orang lain, sering dianggap sebagai elemen yang mencerminkan identiti. Bagi orang Melayu di Malaysia misalnya, agama Islam, raja dan bahasa Melayu dianggap sebagai asas kepada pembentukan identiti Melayu (Shamsul 1996). Di samping ketiga unsur tersebut, unsur-unsur lain turut berperanan dalam mencorakkan identiti Melayu. Pemakaian songkok dan baju Melayu misalnya, dianggap sebagai unsur pakaian yang mencerminkan identiti orang Melayu.

Mengenai masyarakat Madura di Indonesia, Kuntowijoyo (2002) dan Andang (2004) telah menyimpulkan bahawa Islam dan ulama atau kiai adalah elemen yang penting dalam kehidupan orang Madura. Agama Islam dibawa masuk ke Pulau Madura pada abad ke-15 dan 16 oleh para pengikut Wali Songo, terutamanya pengikut Sunan Giri dari Gresik. Pengaruh agama Islam terhadap unsur kehidupan masyarakat Madura dapat dilihat terutamanya pada hubungan yang erat antara ulama dengan anggota masyarakat.1 Besarnya peranan Islam dan ulama atau kiai di dalam kehidupan orang Madura tidak hanya diperakui oleh masyarakat umum tetapi juga pihak pemerintah Indonesia. Dalam konteks rancangan pembangunan misalnya, pihak ulama atau kiai lah yang lazim dirujuk untuk mengetahui pandangan atau aspirasi masyarakat Madura.

Selain kedua-kedua unsur tersebut, bahasa dan budaya Madura merupakan unsur yang penting untuk membezakan golongan tersebut daripada kumpulan etnik lain yang terdapat di Jawa Timur. Tidak dapat dinafikan bahawa bentuk budaya masyarakat Madura adalah hampir sama seperti masyarakat Jawa.2 Bahkan, ditinjau dari perspektif yang lebih luas, budaya Madura dikatakan termasuk dalam lingkaran kebudayaan Jawa-Bali-Madura-Sunda. Namun begitu, budaya Madura mempunyai bentuk dan jiwa tersendiri, yang sebahagiannya dipengaruhi oleh keadaan cuaca dan bentuk muka bumi yang kasar serta gersang. Perbezaan ketara yang dapat dilihat dengan jelas adalah dari segi bahasa. Sehubungan dengan itu, dapat disimpulkan bahawa agama Islam, ulama atau kiai dan bahasa Madura merupakan unsur atau asas utama kepada pembentukan identiti Madura.

Selain ketiga-ketiga unsur tersebut, terdapat unsur lain yang turut menyumbang kepada pembentukan identiti Madura. Hal ini kerana, unsur yang mencerminkan identiti suatu kelompok etnik tidak hanya disedari dan diakui oleh anggota kelompok etnik terbabit, tetapi adakalanya diiktiraf dan diterima oleh kelompok lain. Dalam kehidupan seharian misalnya, sikap dan mentaliti orang Madura dianggap berbeza berbanding orang Jawa. Untuk sekian lamanya, orang Madura terkenal dengan sikap berterus terang dan lurus. Hal tersebut terlihat pada cara mereka berbicara, iaitu dengan nada yang kuat. Oleh yang demikian, pada pandangan orang luar, orang Madura sering dianggap kasar dan tidak berbudi bahasa. Bahkan, berdasarkan tinjauan kepustakaan dan temu bual secara informal dengan beberapa informan dapat disimpulkan bahawa terdapat Carok Sebagai Elemen Identiti Manusia Madura 93 stereotaip umum yang mengatakan bahawa orang Madura adalah bersifat ‘panas baran’ dan ‘cepat meluap’ perasaannya. Sifat-sifat tersebut dikatakan wujud sebagai refleksi kepada keadaan persekitaran yang kering, gersang dan panas di Pulau Madura. Namun begitu, di sebalik sifat yang agak negatif tersebut, orang Madura juga dikatakan pandai berjenaka, bersifat tekun, cepat menyesuaikan diri dan secara keseluruhan tampak menarik. Orang Madura dapat menjadi kawan yang setia apabila didekati dengan cara yang baik, tetapi sekiranya kita mengkhianatinya maka berhati-hatilah dengan tindakan mereka yang di luar jangkaan itu.

Di samping stereotaip tentang orang Madura tersebut, dalam kehidupan seharian orang Madura terdapat beberapa aspek yang dikatakan berciri khas atau milik Madura seperti soto Madura, sate Madura, karapan sapi, carok, remo dan ojung. Di Indonesia, ‘carok’ dianggap sebagai sesuatu yang khas milik kelompok etnik Madura. Dalam kelompok etnik lain, tidak dikenal apa yang
disebut sebagai carok. Hanya etnik Bugis sahaja yang dianggap mempunyai pola perilaku yang hampir menyerupai carok, iaitu fenomena yang disebut sebagai ‘siri’ (Pelras 1996).

Sehubungan itu, makalah ini cuba mengupas tentang fenomena ‘carok’ di kalangan orang Madura. Makalah ini tidak bertujuan membahas atau menilai carok dari sudut pandang moral. Sebaliknya, makalah ini hanya mengupas fenomena carok dari sudut pandang pihak berkuasa dan pengalaman seharian orang Madura tentang pengertian carok, faktor penyebab, pelaku carok, bentuk-bentuk carok, dan tanggapan masyarakat Madura terhadap carok.

Pada dasarnya, tulisan ini merupakan sebahagian daripada laporan projek penulisan tesis yang bertemakan identiti masyarakat Madura di Malaysia. Bagi mendapatkan gambaran tentang masyarakat Madura yang berada di Malaysia, kajian dengan kaedah etnografi telah dijalankan di sebuah kawasan perumahan orang Madura di Kampung Teras Jernang, Bangi, Selangor. Manakala tentang carok pula, maklumat awal mengenainya telah diperolehi daripada bahan atau data sekunder. Di Malaysia, sangat sedikit bahan bertulis tentang orang Madura, apalagi tentang carok. Bagi memperdalam pemahaman dan memperolehi lebih banyak bahan bertulis tentang orang Madura, penulis telah berkunjung ke Jakarta, Pulau Madura dan Jember di Jawa Timur pada bulan Julai dan Ogos 2004. Kunjungan ke Pulau Madura turut disertai dengan kajian kepustakaan ke beberapa institusi pendidikan dan perpustakaan di Jakarta seperti ke LIPI (Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia) dan Universitas Indonesia, juga di Jember iaitu di Pusat Kajian Budaya Jawa dan Madura, Universitas Jember. Kajian kepustakaan ini sangat penting bagi memperolehi sebarang maklumat dalam apa juga bentuk sama ada bahan bercetak, elektronik, magnetik dan bahan dari sumber online atau offline. Di samping itu, penulis berusaha untuk mendapatkan data-data primer dengan melakukan temu bual secara informal terhadap beberapa orang informan berkaitan identiti etnik Madura baik dari sudut pandang everyday-defined atau authority-defined. Sesuai dengan keterbatasan itulah, maka makalah ini cuba mengupas secara ringkas tentang carok sebagai elemen identiti Madura.



IDENTITI DAN ETNISITI

Sebelum mengupas lebih jauh tentang carok sebagai elemen identiti orang Madura, elok sekiranya pembaca dijelaskan tentang pendekatan yang penulis guna untuk memahami konsep identiti. Identiti merupakan satu persoalan atau konsep yang dapat dilihat sama ada dari sudut pandangan yang sederhana atau yang lebih kompleks. Hal ini kerana identiti sebagai satu konsep dapat dilihat sebagai satu objek yang mempunyai dua sisi. Di satu sisi, identiti dapat dilihat sebagai suatu fenomena yang ‘natural’, ‘kaku’, dan tidak perlu diperdebatkan. Pada masa yang sama, ia juga dapat dilihat sebagai fenomena yang bersifat ‘cair’, boleh berubah-ubah, dan diperdebatkan.

Dalam perspektif liberal, identiti dalam konteks hubungan antara individu dengan masyarakat bukanlah satu hal yang rumit. Dikatakan demikian kerana setiap individu mempunyai ciri atau sifat yang sama sehingga menjadikan mereka mempunyai simbol atau ‘identiti’ sebagai anggota kepada suatu kelompok tertentu dalam masyarakat (Rouse 1995). Namun begitu, perkembangan terkini dalam bidang antropologi terutama dalam kajian budaya memberikan hujah yang berbeza. Identiti dilihat sebagai satu proses pembentukan atau konstruksi sosial yang tidak stabil, yang berlaku di dalam satu jaringan hubungan kekuasaan (Nonini & Ong 1997). Oleh yang demikian, identiti tidak harus dilihat sebagai essence atau inti yang tidak berubah kerana identiti mempunyai hubungan atau kaitan dengan pelbagai faktor. Dalam pengertian tersebut, identiti merupakan sesuatu yang dibentuk dan bukan telah terbentuk secara semula jadi (becoming rather than being) (Hall 1989). Ia juga tidak tertakluk kepada masa dan ruang (Shotter 1993), dan dibentuk atau dikonstruksi secara sosial (Jackson & Penrose 1993).

Sesuai dengan perspektif konstruksi sosial, pembentukan identiti sebagai suatu fenomena sosial dapat difahami dengan melihatnya dalam konteks dua realiti sosial. Pertama, realiti authority-defined, iaitu realiti yang didefinisikan oleh pihak yang berada dalam struktur kekuasaan yang dominan. Kedua, realiti sosial everyday-defined, iaitu realiti yang dialami sendiri oleh individu dalam kehidupan sehariannya. Kedua-dua realiti sosial tersebut wujud secara seiringan pada sebarang waktu (Shamsul 1996). Dalam kehidupan seharian kedua-dua realiti tersebut saling berkaitan dan secara berterusan saling mempengaruhi. Oleh yang demikian, kedua-duanya mungkin mempunyai persamaan atau sebaliknya. Hal ini kerana realiti sosial everyday-defined merujuk kepada sesuatu yang dialami, manakala realiti sosial authority-defined hanyalah hasil pemerhatian dan interpretasi. Oleh yang demikian, identiti yang dipunyai oleh seseorang mungkin bersifat ganda, iaitu di satu sisi adalah hasil dari apa yang dinyatakan oleh authority-defined. Pada sisi yang lain pula, identitinya itu diperolehi melalui pengalaman hariannya atau everyday-defined, elemen identiti dari sumber lain turut dijadikan rujukan.

Salah satu sumber identiti seseorang adalah identiti etnik. Secara ringkas, pemahaman tentang konsep etnisiti mungkin dapat dibahagikan kepada dua, iaitu perspektif primordialis dan perspektif situasionis. Menurut perspektif primordialis, etnisiti adalah sesuatu yang diwarisi (ascribed), sangat dalam akarnya, diberikan sebagai suatu yang diwariskan sewaktu lahir dan secara keseluruhan tidak dapat diubah (van den Berghe 1978: 401). Perspektif situasionis pula melihat etnisiti sebagai suatu fenomena yang muncul hasil interaksi yang berterusan antara keadaan alami suatu komuniti lokal, peluang-peluang ekonomi yang ada, dan warisan bangsa atau agama kelompok tertentu (Yancey et al. 1976: 397). Berdasarkan perspektif ini, manusia dilihat sebagai agen yang secara aktif membuat pilihan dan secara strategik mempersembahkan dan menonjolkan lambang-lambang etniknya dengan cara yang dianggap sesuai. Oleh yang demikian, identiti etnik hanya berupa ‘benda’ atau simbol yang ditentukan berdasarkan manipulasi dan persembahan yang berbeza-beza, sehingga ia bukanlah sematamata suatu refleksi diri yang sebenar (Chan & Tong 1993: 143).

Rosaldo (1988) pula berhujah bahawa identiti tidaklah secara mutlak merupakan suatu yang ekspresif (primordial) atau instrumental (situasional). Lazimnya kedua-duanya berlaku secara seiring. Perspektif ini tidak jauh berbeza dengan pandangan Fishman (1977) yang berpendapat bahawa etnisiti merupakan fenomenologikal antara unsur-unsur warisan (ascription) dan unsur-unsur yang menjadi pilihan sendiri (self-selection). Dalam pengertian tersebut, affiliasi etnik dapat dilihat sebagai terletak di sepanjang garisan panjang di mana seseorang mengorganisasi dan mengkategorikan dirinya, dari keanggotaan yang dipilih sehingga kepada keanggotaaan yang diberikan oleh orang lain terhadapnya (Horowitz 1975: 55).

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dikatakan bahawa identiti etnik boleh bersumberkan apa yang diwarisi oleh seseorang daripada keluarga dan kelompoknya (seperti yang dikemukakan oleh primordialis) atau identiti yang telah ditentukan oleh pihak tertentu (pihak negara misalnya) ke atasnya (seperti yang dikemukakan oleh konstruktivis). Namun begitu, berdasarkan realiti yang dilalui oleh seseorang sama ada realiti authority-defined atau realiti everyday-defined, setiap orang mempunyai peluang dan hak untuk memilih dan mengekspresikan identity-of-intent-nya sesuai dengan keadaan, keinginan dan keperluannya. Dengan kata lain, atas alasan apa sekalipun setiap individu mempunyai pilihan untuk menampilkan identiti yang dirasakan mempunyai atau menjanjikan peluang atau keuntungan tertentu di masa akan datang. Pilihan terhadap identiti mana yang akan dipegang sangat penting misalnya, dalam kehidupan bernegara-bangsa (nation-state). Dalam kehidupan bernegara-bangsa ini, kelompok etnik mana yang dianggap sebagai kelompok majoriti atau minoriti dalam membentuk negara-bangsa itu adalah sangat penting kerana ia mempunyai kaitan dengan aspek ekonomi dan politik. Dalam hal inilah pemahaman identiti etnik berdasarkan realiti sosial everyday-defined atau authority-defined dapat digunakan sebagai asas untuk menganalisis bagaimana sesuatu unsur identiti etnik diekspresikan, diubah atau bahkan ditinggalkan sesuai dengan identityof- intent yang ada dalam diri individu terbabit.


1 komentar:

  1. ternyata untuk memahami budaya orang madura tidak cukup hanya mengenal "mahluknya". Perlu kajian dan informasi dan galian info yang seluas-luasnya tentang orang-orang madura dengan segala sisi kehidupannnya, pun juga khazanah budayanya yang santun dan dinamis, ulet dan tak kenal menyerah---------singkatnya, apa yang tersaji dari pak Latif ini----sudah layak menjadi referensi untuk lebih arif mengenal siapa dan apa sebenarnya madura.salam. Ferry Arbania,penyiar Radio Madura Fm Madura 087812108800

    BalasHapus